Kami bertolak ke Gua Ashabul Kahfi pada pagi terakhir di bumi Jordan, lebih kurang jam 11 pagi.
Gua Ashabul Kahfi ini terletak 7 km sahaja dari bandar Amman, jadi sekejap sahaja perjalanan. Itupun sempat berada di dalam gua tak sampai setengah jam. Penjaga gua dah nak kunci pintu, kerana nak bersiap sedia untuk solat Zuhur berjemaah. Masuk ke sini adalah percuma, tiada bayaran.
Kisah Ashabul Kahfi (penghuni gua) yang masyhur ini, merupakan kisah benar tentang 7 orang pemuda beriman dan seekor anjing yang tertidur di dalam sebuah gua. Menurut para ulama’, Ashabul Kahfi yang dimaksudkan dalam ayat di atas, terdiri daripada 7 orang pemuda bernama:
Tamlikha, Maksalmina, Marthunus, Nainunus, Saryunus, Zunuwanus & Falyastathyunus.
Mereka ditemani oleh seekor anjing bernama Qithmir. Kisah 7 orang pemuda beriman dan seekor anjing yang telah melarikan diri dari pemerintah yang zalim ke sebuah gua, dan ditidurkan Allah SWT selama 309 tahun ini, turut diceritakan di dalam Al-Quran; Surah Al-Kahfi, dari ayat 9 hingga 26.
Kisah Ashabul Kahfi (Penghuni Gua)
Pemuda-pemuda beriman ini hidup di zaman pemerintahan Raja Diqyanus (Decius) dari Rom.
Pada awalnya, penduduk di negeri itu beriman kepada Allah SWT. Namun, keadaan berubah selepas kedatangan Raja Diqyanus. Raja yang kufur ini memerintah dengan kejam, dan memaksa rakyat di bawah pemerintahannya menyembah batu dan berhala yang dianutinya. Sesiapa yang menentang, akan dihukum mati. Rakyat yang takut dengan seksaan raja tersebut terpaksa akur dengan arahan itu.
Namun, terdapat sekumpulan pemuda beriman yang enggan tunduk dengan tekanan Raja Diqyanus. Mereka tetap beriman kepada Allah, dan teguh mempertahankan aqidah secara sembunyi. Kepercayaan 7 pemuda ini sampai ke pengetahuan raja, dan mereka dipanggil menghadap Raja Diqyanus.
Di hadapan raja yang zalim ini, mereka berani mempertahankan iman dan aqidah yang diyakini. Mereka mengakui hanya Allah yang layak disembah dan tempat minta pertolongan.
“Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran”. [Al-Kahfi:14]
“Kaum kami ini, menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah; sepatutnya mereka mengemukakan keterangan yang nyata yang membuktikan ketuhanan makhluk-makhluk yang mereka sembah itu? (Tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian); Maka tidak ada yang lebih zalim dari orang-orang yang berdusta terhadap Allah. [Al-Kahfi:15]
Raja Diqyanus dan pengikutnya terkejut, dan gagal menjawabnya. Walaupun tak mampu nak jawab hujah pemuda-pemuda beriman tersebut, raja yang kufur itu tetap mahu mereka murtad daripada agama mereka. Lalu, mereka di beri tempoh masa untuk meninggalkan agama yang diyakini. Jika tidak, mereka akan dimurtadkan secara paksa, atau dijatuhi hukuman mati.
Penyembunyian 7 Pemuda Di Dalam Gua
Kerana ingin memelihara aqidah dan agama, 7 pemuda tersebut bersepakat untuk bersembunyi.
“Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari RahmatNya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna”. [Al-Kahfi:16]
Akhirnya, mereka memutuskan untuk lari bersembunyi dan berlindung ke suatu tempat tersorok di pedalaman. Di situ terdapat sebuah gua untuk dijadikan tempat bersembunyi, dan di pintu gua itulah mereka berdoa sebelum memasukinya.
“(Ingatlah) tatkala pemuda-pemuda itu mencari tempat berlindung ke dalam gua lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini)”. [Al-Kahfi:10]
Ditidurkan Di Dalam Gua Selama 300 Tahun
Di dalam gua, kesemua pemuda diberi ketenangan dan keselamatan oleh Allah SWT, dan ditidurkan dalam masa yang sangat lama. 300 tahun Masihi, dan tambah 9 tahun lagi dengan kiraan tahun Hijrah.
“Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka :tiga ratus tahun (dengan kiraan ahli kitab) dan sembilan lagi (dengan kiraan kamu)”. [Al-Kahfi:25]
Walaupun mereka tidur amat lama, tanpa makan dan minum, tetapi dengan kekuasaan Allah SWT, badan dan jasad mereka tidak rosak. Dengan izin Allah juga, kedudukan gua tempat persembunyian mereka berada di sebelah utara, secara tidak langsung telah memelihara pencahayaan, pengudaraan dan kesegaran tubuh mereka sepanjang 3 abad itu.
“Dan engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam satu lapangan gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dialah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya”. [Al-Kahfi:17]
Allah SWT sengaja memberi ilham kepada mereka bertujuh untuk menemui gua tersebut, sedangkan mereka tak mengetahui Allah SWT telah tetapkan aturannya.
“Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri (supaya badan mereka tidak dimakan tanah); sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka”. [Al-Kahfi:18]
Maha suci Allah, yang Maha Bijaksana. Hanya Allah yang menghidupkan dan mematikan manusia.
Kebangkitan Pemuda Dari Tidur Yang Panjang
Apabila tiba tempoh masa yang Allah tetapkan, mereka pun dibangunkan. Ketika ini, zaman pun telah berganti beberapa generasi. Kerajaan di bawah pimpinan raja musyrik yang zalim, telah berubah menjadi sebuah negeri di bawah raja mukmin yang soleh.
Kesemua pemuda telah terjaga kerana perut mereka berasa lapar. Mereka bertanya sesama sendiri berapa lama mereka telah tertidur, dan menyangkakan hanya sehari atau separuh hari sahaja.
“Dan demikian pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya) supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: “Berapa lama kamu tidur?” Sebahagian dari mereka menjawab: “Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari”. [Al-Kahfi:19]
Kerana rasa lapar, mereka hantar wakil ke bandar untuk mencari makanan. Kebetulan masa mereka melarikan diri dulu, mereka membawa bersama bekalan wang perak.
“Sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar); dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu.” [Al-Kahfi:19]
Setibanya di pasar, penduduk kota kehairanan kerana wang perak yang dibawanya sudah berzaman tidak digunakan. Dalam perbualan, terbuktilah bahawa pemuda itu adalah pemuda yang lari dari kepungan raja pada 3 abad lepas. Penduduk tempatan memang mengetahui kisah masyhur ketujuh pemuda yang melarikan diri kerana tidak rela menukar aqidah dan agama.
Orang ramai terus membawa pemuda kepada raja yang memerintah. Raja yang soleh ini kemudiannya membawa kesemua pemuda ke istana, dan diberi tempat di dalam istananya.
Kembali ke Gua Ashabul Kahfi
Tidak lama kemudian, kesemua pemuda ini memilih untuk kembali ke gua semula. Mereka tidak mengharap hidup lebih panjang, kerana telahpun melepasi beberapa keturunan yang kesemuanya pun telah meninggal dunia.
Selepas memberi ucapan selamat tinggal kepada raja dan rakyatnya yang beriman itu, kesemua pemuda bersujud dan berdoa ke hadrat Allah SWT, agar menjemput mereka kembali ke Rahmatullah. Selepas berdoa, mereka merebahkan diri di tempat pembaringan, lalu menghembuskan nafas terakhir dengan tenang dan tenteram.
Setelah kesemua pemuda meninggal dunia, orang ramai berbincang tentang cara untuk memberi penghormatan sewajarnya, agar generasi akan datang sentiasa memperingati kisah pemuda beriman itu.
Ada yang mencadangkan supaya membina bangunan atau tugu sebagai kenangan. Manakala Raja mencadangkan agar sebuah masjid dibina di sisi gua itu, supaya orang ramai sama-sama dapat membesarkan Allah dan sentiasa menginsafi kebesaran Allah SWT.
Pengalaman Menziarahi Gua Ashabul Kahfi
Alhamdulillah berpeluang berada di dalam gua Ashabul Kahfi yang penuh dengan kisah pengajaran. Walaupun tak dapat berlama-lamaan di dalam gua kerana hampir masuk waktu Zuhur, tapi sempat jugalah kami dengar penerangan penuh dari penjaga gua.
Keluar dari gua, kami terus ke masjid bersebelahan kawasan gua Ashabul Kahfi.
Alhamdulillah, berpeluang solat Zuhur dan jamak solat Asar di sini, sebelum menyambung perjalanan untuk makan tengahari dan menziarahi makam nabi Shuaib. Ingat lagi, semua menggigil kesejukan ambil wudhu’ walaupun dah pukul 12 tengahari. Air paip sejuk, sebab ketika ini musim sejuk di Jordan.
Sebelum pulang, sempat minum seteguk air di sini. Betul-betul di hadapan pintu masuk masjid.
Kisah Ashabul Kahfi, Laut Mati dan The Treasury Petra di bumi Jordan ini merupakan salah satu dari pelbagai kisah lain seumpamanya yang menakjubkan, dan menunjukkan kekuasaan Allah, Yang Maha Kuasa mengatur alam menurut kehendak-Nya.
Alhamdulillah diberi peluang ziarah ke Jordan, bumi para Anbiya’. Semoga kisah Ashabul Kahfi dan lain-lain menjadi iktibar untuk kita meraih kebaikan di dunia, dan lebih utama di akhirat. Insya Allah.. 😀
Arnie Samsudin
Gua Ashabul Kahfi, Jordan @ 12 Jan 2017.
Oja Samid says
Mesti lain feelingnya bila pergi tengok sendiri berbanding dengar/baca ceritanya saja kan.. Bestnya lah. Hehe..
Oja Samid recently posted…Fungsi Magnesium Yang Semua Orang Patut Tahu Supaya Badan Tak Sakit Sana Sini
arniesamsudin says
Betul, lain sangat… Meremang bulu roma bila dengar cerita dari penjaga gua, masa kami semua berada dalam Gua Ashabul Kahfi tue..
arniesamsudin recently posted…Sarapan Pagi Jordan Style di New Jerusalem Rest House
Manan Qayyim says
seronok nya dpt menziarah tempat ini.
Manan Qayyim recently posted…Manfaatkan “Lifestyle Tax Relief” Anda, Pembayar Cukai.
arniesamsudin says
Alhamdulillah, rezeki jangan ditolak, gitew..
arniesamsudin recently posted…Sarapan Pagi Jordan Style di New Jerusalem Rest House
airah says
seronoknya baca kisah ni 🙂 memang kena fllow blog ni sbb best
arniesamsudin says
terima kasih, singgah sini.. 😀
arniesamsudin recently posted…Sarapan Pagi Jordan Style di New Jerusalem Rest House