Menunaikan Haji di Mekah (bagi yang mampu) merupakan Rukun Islam ke-5, dan menjadi impian setiap Muslim. Sementara tunggu panggilan Haji, ramai juga yang ambil peluang tunaikan Umrah.
Di Malaysia, syarat untuk mendaftar Haji dengan Tabung Haji ialah individu perlu ada sekurang-kurangnya RM1,300 di dalam akaun simpanan Tabung Haji.
“RM1,300? Banyaknyaaa… Dalam keadaan sekarang nie banyak nak pakai duit. Tak mampulah nak sediakan deposit RM1,300 untuk daftar haji. Macam mana aku nak pergi Haji nie…?”
Untuk anda yang tiada simpanan tunai, mari kami kongsikan cara daftar haji tanpa deposit RM1,300.
Cara Daftar Haji Tanpa Deposit Tunai RM1,300
Berita baik bagi anda yang tidak punyai simpanan mencukupi untuk mendaftar Haji. Anda kini boleh buat pendaftaran Haji melalui akaun KWSP, sekiranya anda mempunyai RM1,300 di dalam Akaun 1 KWSP!
Syarat-syarat daftar Haji tanpa deposit tunai:
- Warganegara Malaysia.
- Beragama Islam.
- Ada akaun Tabung Haji.
- Ada simpanan KWSP Sekurang-kurangnya RM1,300.
- Berumur hingga 55 tahun sahaja.
Caranya mudah sahaja:
- Print out penyata semasa akaun KWSP. Boleh pergi kiosk KWSP. Atau, log in je i-Akaun KWSP.
- Pergi ke kaunter Tabung Haji, Bank Islam atau Bank Rakyat.
- Bawa MyKad & Penyata KWSP sahaja.
Tak perlu bawa buku simpanan Tabung Haji warna kuning tue pun. 2 benda ini dah mencukupi.
Kemudahan pendaftaran Haji ahli KWSP ini juga tidak melibatkan pengeluaran wang KWSP.
Tujuan bawa penyata akaun KWSP ialah supaya pegawai TH boleh mengesahkan bahawa baki dalam akaun 1 KWSP kita mencukupi. Mereka tak ambil pun penyata tue. Akan dipulangkan semula kepada kita.
Ada yang kata, tak perlu print out penyata KWSP pun. Tunjukkan penyata dalam smartphone pada pegawai TH aje pun boleh. Hmmm… Bergantung kepada pegawai bertugas, atau cawangan TH kot.
Kami buat di Tabung Haji Shah Alam, Anggerik Mall. Bawa soft copy dalam smartphone. End up kena naik tingkat atas, cari kedai dan print out penyata KWSP tersebut. Jadi, to be safe, print out siap-siap ya.
Bertukar Kepada Skim Pendaftaran Haji KWSP
Ahli KWSP yang telah mendaftar Haji di bawah prosedur Tabung Haji sebelum ini juga boleh menukarkannya kepada skim pendaftaran Haji KWSP ini.
Berita baiknya ialah tahun giliran/ peruntukan Haji yang asal akan dikekalkan. Tidak bertukar. Malah, wang pendaftaran Haji sebanyak RM1,300 sebelum ini juga akan dicairkan ke dalam akaun TH serta-merta.
Jika anda perlu guna duit, tak perlu batalkan pendaftaran Tabung Haji. Sayang sebab tahun giliran Haji akan terbatal secara automatik. Lebih baik tukar sahaja daftar haji biasa kepada daftar haji KWSP.
Prosesnya sekejap aje. Hanya bawa MyKad dan penyata terkini akaun KWSP. Tak perlu tandatangan, cap jari ataupun check thumb print dengan MyKad reader. Bila dah siap, tahun giliran Haji masih sama seperti sebelum ini. Dan ya, deposit RM1,300 yang sebelum ini lock juga terus dicairkan ke dalam akaun.
Jadi, tiada simpanan RM1,300 pun, masih boleh daftar haji tanpa deposit. Jom daftar Haji sekarang. Semoga kita semua dijemput menjadi tetamu Allah. Semoga artikel ini bermanfaat buat semua.