Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan penangguhan pembayaran balik pinjaman secara automatik selama 6 bulan buat semua rakyat Malaysia mulai 1 April 2020 ini. Ini ialah selari dengan usaha kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat di musim wabak Covid-19 ini.
Hingga ke saat ini, setiap bank masih belum lagi mengeluarkan terma dan syarat masing-masing.
Namun, pelbagai desas desus pula yang tersebar di internet. Siap ada ‘video dari staf bank’ yang mana penerangannya bercanggah dengan apa yang diumumkan oleh BNM. Ini menambahkan lagi kegusaran di hati rakyat. Nak keluar ke bank tak boleh (Restricted Movement Order), call bank pula tak berangkat.
Soalan Lazim Penagguhan Pembayaran Balik Pinjaman
Bagi merungkaikan kerisauan semua, berikut ialah beberapa soalan lazim mengenai ‘Penangguhan Pembayaran Balik Pinjaman’ yang dikeluarkan rasmi oleh Bank Negara Malaysia.
‘Penangguhan Pembayaran Balik Pinjaman’ merupakan penangguhan automatik pembayaran balik pinjaman (termasuk pembiayaan oleh bank-bank Islam) selama 6 bulan untuk membantu peminjam (individu dan PKS) yang ada masalah kewangan.
Apakah Kriteria Kelayakan Penangguhan?
Semua kemudahan pinjaman yang mematuhi 2 syarat berikut:
- Pinjaman TIDAK tertunggak melebihi 90 hari pada 1 April 2020.
- Pinjaman dalam denominasi Ringgit.
- Tak perlu buktikan bahawa anda terkesan dengan Covid-19.
Apakah Yang Perlu Peminjam Buat Sekarang?
Tak perlu buat apa-apa. Penangguhan ini adalah AUTOMATIK.
Wajib Tahu Tentang Penangguhan Pembayaran Balik Pinjaman
- Diberikan kepada semua individu dan PKS yang meminjam.
- Penangguhan adalah AUTOMATIK. Peminjam tak perlu mohon.
- Pinjaman yang tertunggak lebih daripada 90 hari TIDAK layak mendapat penangguhan ini.
- Jika tak mahu penangguhan, boleh beritahu bank dan bayar balik pinjaman seperti biasa.
- Tempoh penangguhan: 1 April 2020 hingga 30 September 2020.
- Tiada faedah atau caj atas pembayaran lewat.
- Caj faedah normal akan dikenakan seperti biasa kepada bayaran yang tertangguh. Maknanya, bayaran faedah akan ditambah kepada jumlah pinjaman.
- TIDAK dimasukkan di bawah CCRIS bagi penangguhan pembayaran balik pinjaman.
Apakah Yang Perlu Dibuat Selepas Tempoh 6 Bulan Tersebut?
- Selepas tempoh 6 bulan ini, pinjaman perlu dibayar semula.
- Teruskan pembayaran balik mengikut jumlah dan tempoh baharu.
- Jika perlu, boleh memohon untuk membayar balik pada jumlah yang lebih rendah dan tempoh yang lebih panjang.
Bagaimana Dengan Pinjaman Kad Kredit?
Pembayaran pinjaman kad kredit tidak boleh ditangguhkan.
Walaubagaimanapun, baki kad kredit boleh ditukar kepada pinjaman bertempoh tidak melebihi 3 tahun pada kadar faedah tidak melebihi 13% setahun (caj kad kredit biasa ialah 18% setahun).