Bermula dengan i-Lestari, kemudian i-Sinar, bulan ini sekali lagi rakyat Malaysia berpeluang untuk mengeluarkan duit simpanan KWSP di bawah pakej pemulih yang dikenali sebagai i-Citra.
Apakah Itu i-Citra?
Pengeluaran i-Citra adalah bertujuan untuk membantu ahli yang terkesan akibat PKP bagi membantu keperluan hidup untuk kelangsungan harian.
Semua ahli KWSP yang berumur 55 tahun ke bawah, termasuk bukan warganegara, dan mempunyai sekurang-kurangnya baki RM150 dalam akaun KWSP ketika tarikh permohonan, layak memohon.
Sama seperti i-Lestari dan i-Sinar fasa 2, pengeluaran i-Citra juga tidak memerlukan apa-apa borang sokongan. Ahli yang pernah memohon pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar juga boleh memohon i-Citra, sekiranya masih mempunyai simpanan yang mencukupi di dalam akaun KWSP.
Berapakah Amaun Maksimum Pengeluaran i-Citra?
Amaun pengeluaran maksimum ialah RM5000, di mana pembayaran akan di buat secara bulanan selama 5 bulan. Bayaran yang ditetapkan ialah RM1000 sebulan, atau tertakluk kepada jumlah baki simpanan. Pengeluaran i-Citra akan menggunakan sepenuhnya Akaun 2 terlebih dahulu. Sekiranya tidak mencukupi, simpanan dalam Akaun 1 akan digunakan.
Bilakah Boleh Mula Mohon Pengeluaran i-Citra?
Permohonan boleh dibuat mulai 15 Julai 2021 hingga 30 September 2021.
Permohonan boleh dibuat secara online melalui portal icitra.kwsp.gov.my. Bagaimanapun, portal ini hanya boleh diakses bermula 15 Julai 2021.
Bayaran bagi permohonan yang dibuat pada bulan Julai dijangka bermula bulan Ogos 2021.
Perlu Ke Apply i-Citra?
Setiap individu mempunyai sebab tersendiri samaada nak keluarkan RM5000 ini ataupun tidak.
Bagi anda yang masih mempunyai gaji tetap tanpa sebarang pengurangan setiap bulan, mempunyai aliran kewangan (cashflow) yang kukuh setiap bulan, mungkin anda rasa tak perlukan i-Citra.
Namun, bagi anda yang kehilangan pekerjaan, mengalami pengurangan gaji, tidak mempunyai aliran kewangan yang lancar (negative cashflow), simpanan makin berkurangan ataupun tiada simpanan langsung, bercadang untuk memulakan bisnes online, atau apa jua alasan anda, mohon sahajalah i-Citra ini.
Jangan malu mohon i-Citra kerana ia bukanlah duit bantuan kerajaan, ia adalah duit simpanan hasil titik peluh anda sendiri. Abaikan sahaja cakap-cakap orang, “Dah tua nanti tiada duit simpanan KWSP”.
Belum tentu kita masih bernyawa hingga usia 55 tahun, jika sekarang pun sukar untuk meneruskan kehidupan, kan? Pahitnya hanya anda yang tahu. Yang dijemput Illahi disebabkan jangkitan Covid-19 juga ramai yang masih muda. Al-Fatihah untuk mereka…