Ibadat Haji hanya boleh dilakukan sekali dalam tahun hijriyah. Bagi negara Malaysia yang mempunyai penduduk beragama Islam yang ramai, kerajaan perlu menetapkan kuota tahunan jemaah Haji kerana permintaan Haji sangat tinggi. Walaupun simpanan dalam Tabung Haji sudah mencukupi, kita masih perlu tunggu giliran untuk tunaikan Haji hingga berpuluh tahun.
Berbeza dengan Haji, ibadat Umrah boleh dilakukan sepanjang tahun. Jadi, bila ada bajet yang mencukupi, Insya Allah boleh tunaikan umrah bila-bila masa sahaja. Dengan izin Allah jua.
Oleh itu, Umrah merupakan pilihan utama ramai orang yang berimpian ke Tanah Suci. Nak tunggu giliran Haji, agak lama juga. Dengar cerita sekarang giliran Haji dah masuk tahun 2100++. Sekurang-kurangnya melalui Umrah, dapat jugalah jejakkan kaki ke Tanah Suci, walaupun sekali seumur hidup.
Tiada RM1,300 Ini Cara Daftar Haji Tanpa Deposit Tunai
4 Dokumen Wajib Ada Untuk Mohon Visa Umrah Suami Isteri
Baru-baru ini kami sediakan dokumen yang diperlukan untuk mohon visa umrah suami isteri. Jadi, sebelum terlupa, lebih baik saya catatkan di sini sebagai rujukan diri di masa hadapan.
Ini kerana, ada prosedur khas untuk syarat mahram yang melibatkan dokumen.
(1) Sijil Nikah. Salinan sijil nikah ini wajib dapat pengesahan dari Jabatan Agama Islam dan Wisma Putra.
Inilah prosedur khas yang dimaksudkan. Untuk tujuan ini, kami pergi ke Jabatan Agama Islam di Shah Alam dahulu. Kemudian, meneruskan perjalanan ke Wisma Putra di Putrajaya.
(2) Buku Suntikan. Perlu ambil suntikan vaksin Meningococcal di klinik berhampiran. Kami baru ambil suntikan ini semalam, 4 November 2016. Harga satu suntikan Meningococcal di klinik tempat kami ialah RM150, tak termasuk caj konsultasi doktor RM15.
Jadi, jumlah kos suntikan Meningococcal untuk kami berdua suami isteri ialah RM330.
Info tambahan dari doktor, vaksin Meningococcal ini valid untuk 5 tahun. Jadi, jika dah pernah ambil suntikan tahun 2013 ke contohnya, tak perlu ambil lagi. Apapun, sila rujuk kepada ejen yang menguruskan visa Umrah anda. Dikhuatiri ada syarat baru pula.
(3) Gambar 2 keping. Ambil gambar yang berlatar belakang putih. Pergi sahaja ke mana-mana kedai gambar, dan beritahu nak ambil gambar untuk Umrah. Kebanyakan kedai gambar mesti dah tahu prosedur wajib ini. Kos 4 keping gambar bagi kami suami isteri ialah RM40.
(4) Passport. Pastikan tarikh tamat passport anda masih berbaki sekurang-kurangnya 6 bulan dari tarikh dijangka berangkat menunaikan Umrah.
Jika ini kali pertama ke luar negara, anda berdua perlu buat passport. Mulai Januari 2015, kadar baru untuk permohonan dan pembaharuan passport Malaysia Antarabangsa pemohon biasa (13 tahun hingga 59 tahun) ialah RM200 untuk tempoh 5 tahun. Jadi, kos passport baru untuk suami isteri ialah RM400.
Bila dah ada 4 dokumen wajib ini, cepat-cepat serahkan kepada ejen Umrah anda. Mereka akan uruskan permohonan visa umrah buat anda suami isteri.
Kos Tambahan Umrah Suami Isteri
Andaikan anda sudahpun memilih pakej Umrah (biasanya termasuk kos penerbangan dan hotel) yang bersesuaian dengan bajet suami isteri, ini ialah antara kos tambahan yang perlu diambil kira:
- 2 set suntikan vaksin Meningococcal: RM330
- 2 set gambar, 2 keping setiap satu: RM40
- Passport untuk suami dan isteri: RM400
- Kelengkapan Umrah sebelum bertolak, dan kos perbelanjaan di sana.
Kos tambahan lebih kurang RM800. Ini adalah anggaran sahaja, berbeza mengikut keperluan individu.
Ini gambar anak kami menunaikan Umrah pada tahun 2013, ketika usianya 7 tahun.
Seronok dia beri burung merpati makan di laman Masjidil Haram. Antara aktiviti biasa jemaah selepas selesai menunaikan ibadah Umrah. Rezeki anak, sampai ke tanah suci dahulu sebelum ibunya.
Kata orang, walaupun ada peluang, belum tentu kita jadi tetamu di sana tanpa ‘jemputan Allah’.
Oh ya, jangan lupa juga kepada kos sampingan lain seperti kelengkapan Umrah, luggage, ubat-ubatan, suplemen, makanan kering (jika perlu) dan untuk perbelanjaan di Mekah dan Madinah nanti.
Kos Visa Umrah Kali Ke-2 Dalam Tempoh 3 Tahun
Untuk makluman, kemasukan pertama kali bagi jemaah Haji dan Umrah adalah percuma.
Namun, mulai 2 Oktober 2016, Kerajaan Arab Saudi dan Kementerian Haji Arab Saudi telah menetapkan bayaran visa umrah bagi kali ke 2 dalam tempoh 3 tahun hijah sebanyak SR 2,000 (RM2,250) seorang, untuk musim Umrah 1438H. Tabung Haji juga telah mengesahkan notis ini.
Walaubagaimanapun, pada 5 Disember 2016, pemerintah Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz telah mengisytiharkan pembatalan kos visa umrah kali ke-2 dalam tempoh 3 tahun ini.
Jadi, tiada tambahan kos visa umrah bagi semua jemaah Umrah.
Semoga perkongsian ini boleh menjadi panduan buat yang sedang menyediakan dokumen untuk memohon visa umrah suami isteri. Dan, semoga sedikit sebanyak membantu para pembaca merancang kos dan menabung untuk Umrah dengan sebaik-baiknya.
Insya Allah, kami suami isteri akan menunaikan Umrah pada bulan Januari 2017 nanti. Mohon para pembaca doakan kami mendapat Umrah yang mabrur, ya. Insya Allah…