Sekarang sedang berlangsung peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2024 (SPM 2024).
Peperiksaan SPM ini sangat penting untuk anak-anak pelajar di Malaysia, dalam menentukan halatuju selepas habis persekolahan. Apatah lagi sejak UPSR dan PT3 dimansuhkan, SPM lah satu-satunya peperiksaan awam berprestij untuk anak-anak di Malaysia.
Walaupun anak dalam dewan peperiksaan, pastinya ibu bapa turut sama risau dan resah gelisah memikirkan keadaan anak-anak di dalam dewan SPM.
Berikut dikongsikan beberapa amalan, zikir serta sokongan spiritual yang boleh ibu ayah amalkan ketika anak menghadapi peperiksaan besar SPM, UPKK, PSRA, IGCSE dan lain-lain.
9 Amalan Ibu Bapa Ketika Anak Dalam Dewan Peperiksaan
Ketika anak-anak sedang berada di dalam dewan peperiksaan untuk ujian bertulis, mahupun di dalam makmal untuk ujian amali, pada masa yang sama ibu bapa boleh lakukan amalan berikut:
- Ambil wuduk
- Menghadap kiblat
- Baca Kalimah Syahadah (3 kali)
- Baca Surah Al-Fatihah (10 kali)
- Baca Surah 3 Qul (1 kali)
- Baca Selawat (10 kali)
- Baca Surah Yaasin (1 kali)
- Baca Surah Insyirah (100 kali)
- Niatkan dalam hati supaya Allah SWT mempermudahkan anak-anak menjawab soalan dengan tenang, lancar, tepat dan sempurna dalam waktu yang ditetapkan.
Surah Al-Insyirah
Amalan ini boleh dilakukan sama ada di rumah, di tempat kerja, atau di mana-mana sahaja ketika anak-anak sedang menjawab soalan di dalam dewan peperiksaan.
InsyaAllah, segalanya dipermudahkan dan anak-anak akan dapat menjawab soalan dengan tenang, menepati kehendak soalan dengan mudah dan baik.
Sokongan Spiritual Untuk Anak Menghadapi Peperiksaan Besar
Selain daripada 9 amalan di atas, berikut ialah beberapa sokongan spiritual yang ibu bapa boleh amalkan sentiasa, sebelum peperiksaan besar dan juga sepanjang minggu peperiksaan besar berlangsung.
1. Berpuasa sunat pada hari anak-anak menduduki peperiksaan
Antara doa yang paling dimakbulkan oleh Allah ialah doa ibubapa.
Doa orang yang berpuasa juga amat mudah dimakbulkan oleh Allah. Jadi jika ibubapa yang berpuasa dan mendoakan kejayaan untuk anak-anaknya, pastilah lebih makbul.
2. Lakukan Solat Taubat dan Solat Hajat
Lakukan solat sunat taubat dan solat hajat memohon agar anak tenang serta dapat jawab semua soalan peperiksaan dengan cemerlang. Allah amat suka hambaNya yang seringkali bertaubat. Jadi pastinya doa yang tulus ikhlas daripada orang yang bertaubat akan mudah diperkenankan Allah.
3. Lakukan Solat Dhuha
Lakukan solat dhuha di pejabat, di rumah ataupun di surau sekolah sewaktu menunggu anak-anak yang sedang berjuang di dewan peperiksaan. Doakan kejayaan anak di dalam dan selesai solat.
3. Baca Al-Quran dan hadiahkan pahala bacaan kepada anak
Baca Quran dan pahalanya diniatkan untuk dihadiahkan kepada anak-anak yang sedang menduduki peperiksaan agar terang hati dan tenang fikiran.
5. Sedekah di masjid, rumah anak yatim dan hadiahkan pahala untuk anak.
Semoga amalan ini akan memudahkan doa ibubapa untuk kejayaan anak-anak dalam peperiksaan akan mudah termakbul. Ini adalah kerana amalan sedeqah amat disukai Allah. Orang yang menerima sedeqah ini juga mungkin akan mendoakan kejayaan dan kesejahteraan pemberi sedeqah.
6. Zikir dan Doa berterusan
Samada di pejabat, di rumah ataupun di sekolah menunggu anak-anak yang sedang berada di dewan peperiksaan, jangan putus berzikir dan berdoa kepada Allah untuk kejayaan anak-anak di dalam dewan peperiksaan.
Allah akan mengingati kepada hambaNya yang mengingati lebih daripada hambaNya mengingatiNya. Moga amalan berzikir dan berdoa dengan berterusan ini akan memudahkan Allah memakbulkan doa kita supaya anak-anak berjaya dalam peperiksaan.
7. Hantar gelombang positif kepada anak
Ini adalah law of attraction dan law of vibration. Kita yakin dan bayangkan yang positif. Bayangkan wajah anak dan yakin dia dapat jawab semua soalan dengan tepat. InsyaAllah.
Hadith Qudsi, Allah berfirman:
“Aku berada dalam sangkaan hamba-Ku tentang Aku, dan Aku bersama-nya ketika ia menyebut Aku. Bila ia menyebut Aku dalam dirinya, Aku menyebut dia dalam Diri-Ku. Bila ia menyebut Aku dalam khalayak, Aku menyebut dia dalam khalayak yang lebih baik dari itu. Bila ia mendekat kepada-Ku satu jengkal, Aku mendekat kepadanya satu hasta.
Bila ia mendekat kepada-Ku satu hasta, Aku mendekat kepadanya satu depa. Bila ia datang kepada-Ku berjalan kaki, Aku datang kepadanya berlari-lari”.
(HR. Al-Bukhari, Muslim, Ibn Majah, At-Tirmidzi, Ibn Hanbal)
Usaha, Tawakkal dan Redha
Setelah segala persiapan anak-anak dan ibu ayah lakukan sepanjang tahun sebagai usaha untuk menghadapi peperiksaan besar, marilah kita bertawakkal kepada Allah yang maha mengetahui.
Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Redha di atas segala ketentuanNya. Insya Allah, semoga kejayaan cemerlang milik anak-anak kita bersama. SPM 9A+ Aamiin… All the best, Wyverns!
*Sumber: Tips Dato’ Dr Fadzilah Kamsah